Friday, March 21, 2008

Petikan Novel Gelora ( Sepi Seorang Pelaut )

Suasana riuh rendah di balai perlepasan menghilangkan sedikit keluh resah meratapi saat diriku semakin jauh dari anak dan isteri. Setiap kali ada saja suara merdu lantang melaungi notis penerbangan yang bakal ke udara dan tak lupa juga mencari penumpang yang masih dibuai asyik sehingga terlupa masanya sudah tiba. Mungkinkah mereka ini terlewat atau sengaja mencuri masa untuk lebih lama dengan yang tersayang. Bagaimana dengan aku?. Satu pertanyaan yang berlegar ketika aku sekeluarga masih melangkah longlai ke ruang A11 yang letaknya di penghujung bangunan. Mujurlah dibantu escalator. Sekurang-kurangnya keletihan yang dirasai dapat dipadamkan beserta suhu yang sentiasa memihak dengan sejuk enak tanpa terik mentari. Mungkinkah aku pun juga ingin mencuri masa di kala memikirkan empat bulan di perantauan adalah terlalu lama. Wajah isteri dan anakku senantiasa diratapi. Mahu rasanya untuk tidak mengherdipkan mata walau sesaat. Namun apakan daya. Penglihatan kurniaan Tuhan ini perlu menjalankan tugasnya dan aku redha untuk dipejamkan seketika.
Sukar meninggalkan keluarga tersayang membuatkan aku mengakhiri deretan barisan penumpang yang sama-sama menaiki pesawat MH2746. Di dalam pesawat, masih lagi sesak berdiri bagi mendapatkan giliran untuk meletakkan barang di ruang yang disediakan. Lalu suasana menjadi reda setelah semua penumpang berada di kerusi masing-masing sambil mengikat tali pinggang keselamatan. Aku yang dibarisan akhir juga mengambil tempat dan seperti kebiasaan berada di sebelah tingkap memberi satu kepuasan kepada ku. MH2746 yang boleh memuatkan 270 oarang penumpang sudah bergerak meninggalkan jambatan udara. Ketua pramugara juga mencelah masa memberi penerangan keselamatan sewaktu pesawat masih lagi menuju ke landasan utama. Buat yang pertama kali, mereka kaan mendengarnya dengan penuh minat. Dan bagi yang berpengalaman sekadar berkumandang ditelinga dan pastinya anggota lain memerhatikan bahan bacaan. Akhbar harian atau setidak-tidaknya majalah percuma untuk penumpang.
Akhirnya penerbanganku membuat pendaratan di lapangan terbang Bintulu. Satu lagi keasyikan yang dapat dirasakan kerana sekarang ini Bintulu sudah mempunyai lapangan terbang yang baru sehebat kemajuan yang dinikmati. Saiznya yang besar membolehkan untuk mempunyai perjalanan terus dari Kuala Lumpur ke Bintulu. Tidak seperti pengalamanku sebelum ini. Dari Kuching ke Bintulu bertukar kepada pesawat yang kecil yang selalu membuatkan jantung berdenyut kencang akibat kurang daya tahan pesawat melawan awan tebal dan segala fenomena lain di udara.
Sesampainya di Pelabuhan aku melihat kapal yang bakal aku naiki sudah tertambat teguh di jeti konkrit.Semoga suasana baru di dunia perkapalan ini tidak merubah segalanya ke atas hidupku. Tangga kapal ku panjat dan akhirnya uncapan selamat datang kedengaran di naka telinga dari kelasi kanan yang bertugas. Dengan dokumen yang lengkap sebagai kewajipan asas bekerja di atas kapal, aku membawanya ke dek 5 menuju ke pejabat makhoda yang dikenali sebagai kapten. Sepanjang perjalanan ke dek 5 masih banyak persoalan yang kucari. Apatah lagi dikaburi dengan melepasi tingkat demi tingkat menggunakan lif. Akhirnya selepas menandatangani artikel untuk bekerja di atas kapal sebagai second officer ( pegawai kedua) aku terus ke kabin yang disediakan di dek 4. Dari sini gambaran jelas mula diperolehi dengan melihat kabin yang cantik seumpama bilik hotel dengan semua kelengkapan berada di dalamnya. Ada bilik air, peti ais, sofa dan berlantaikan karpet serta meja bacaan di penjuru katil. Seluruh bilik penginapan disalurkan dengan suhu yang bersesuaian yang dikawal selia dari bilik hawa dingin.
Tanpa kusedari sudah beberap jam aku berada di atas kapal ini. Rakanku yang bakal ku gantikan tempatnya sudah tidak sabar untuk menerjah langkahnya ke bumi yang tercinta setelah berada empat bulan di mahligai terapung ini. Lalu aku memberi ruang kepadanya untuk menerangkan kepada ku akan tugas dan tanggungjawab yang perlu aku pikul sebagai second officer. Setelah aku berpuas hati dengan serahan tugas ini, berlalulah dia sebagai seorang yang senyum lebar. Tiada lagi raut wajah yang kusut. Ucapan terima kasih yang tak terhingga pastinya ditujukan kepada aku kerana sudi muncul di dalam keadaan pelaut-pelaut sekarang ini kurang berminat untuk belayar lagi. Kenapa begitu?.
Yang pergi talah pun pergi dengan pantasnya. Yang menyerah diri akan menyambung tugasan ini dengan penuh emosi. Bayangan keluarga, anak dan isteri masih lagi segar di mata. Walau sudah beberapa peringkat Jalan yang ditempuhi, namun selagi kapal ini tidak dikemudikan ke lautan nun luas di sana, pasti rasa hiba terus menjelma.
Tepat jam 3.30 pagi telefon bimbitke berbunyi. Rupanya isteriku yang menelefon seakan memahami waktu kerja ku sudah hamper. Rupanya mereka di rumah masih tidak lena tidur memikirkan aku tiada di sisi. Bersabarlah. Hanya ini yang boleh aku katakana untuk menawan hati mereka. Lalu langkahku untuk pergi kerja menjadi berat. Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk menempuh hari-hari yang mendatang tanpa ada insane kesayangan di sisi. Tabahkanlah hati kami dan tenangkanlah jiwa kami Ya Allah! Amin Ya Allah. Mudah mudahan doa itu akan menjadikan diri ini lebih memahami suasana dan tidak terbawa-bawa dengan permainan perasaan.
Di rumah kemudi, Third Officer (pegawai ketiga) sedang sibuk membuat persediaan untama pada peralatan navigasi sambil engineer mengambil masa untuk memanaskan enjin. Watchkeeper pula siap sedia menunggu kedatangan pilot ke atas kapal. Anak-anak kapal yang lain dikerahkan bersedia didepan dan belakang mengikut tugas masing-masing. Dan setelah tiba masanya, pilot tiba dengan bergaya, kawalan enjin dihantar kepada bridge control dan pekerja darat berjalan laju mengambil tempat masing-masing. Dengan arahan daripada kapten, satu demi satu tali tambat kapal dikendurkan untuk membolehkan pekerja darat melepaskannya dari pencangkuk. Seterusnya watchkeeping officer menggerakkan telegraph kearah hadapan untuk memulakan pemusingan kipas dan seterusnya menggerakkan kapal meninggalkan jeti di pelabuhan. Arahan demi arahan dilaungkan oleh Kapten kepada jurumudi untuk memastikan kapal berada di haluan yang betul. Akhirnya tenaga pilot tidak diperlukan lagi dengan kapal sudah berada di perairan yang selamat untuk dikendalikan oleh pegawau bertugas.
Kapal masih lagi berada di sekitar perairan Bintulu. Di luar sana kelihatan pelantar-pelantar minyak berdiri teguh di tengah lautan. Barangkal mereka di sana pun seperti aku. Kehilangan kehidupan normal dan terasing di kelompok yangkecil tanpa mampu berulang-alik menikmati apa yang dihajati. Cuma yang berbeza mungkin cerucuknya tidak mampu berjalan dan terus terpacak ke perut bumi yang di bawahnya mempunyai jutaan gelen minyak mentah. Tompokan minyak pasti menyelubungi baju mereka.
Petang ini adalah tugas pertamaku sebagai second officer atau pegawai pengawasan daru pukul 4 petang hingga ke 8 malam.Brada dirumah kemudi seperti berada di Menara kawalan yang mana keseluruhan informasi dipusatkan dan semestinya kami sebagai pekerja diatas rumah kemudi ini perlu tahu apa yang berlaku di dalam kapal mahupun diluar lautan sana.
Di ufuk barat inci demi inci sang mentari menghilangkan diri. Namun masih tidak disenangi oleh bingtang-bingtang di cakeralawala kerana kilauan hebatnya dihadangi awan yang berarak tebal. Di dewan sembahyang pula gema suara azan berkumandang memanggil warga pelaut berjemaah bagi menambahkan kekuatan iman di pentas yang serba mencabar. Di dada lautan, sinaran neon bot-bot nelayan menggantikan kehilangan kerdipan bintang. Mereka masih mencari rezeki walu malam makin suram. Di samping mendapatkan sesuap nasi hasil daripada ritik peluh ini, pastinya sumbangan bermakna adalah kepada puluhan juta himpunan manusia di daratan. Mereka mengharapkan ihsan daripada insane-insan ini untuk membekalkan sumber protein. Semoga mereka tidak lupa kesengsaraan yang dialami di kala mendapatkan pelbagai jenis ikan di lautan. Aku pula gah di mahligai terapung yang tidak mudah dirobek walau badai besar malanda. Di kala mereka menerangi lautan mencari sekumpulan ikan, dilambung tanpa henti, dibawa arus tanpa disedari, penuh kesabaran mengharapkan ikan menyerah diri, aku bertafakkur sejenak di anjung kapal. Lantas sedarlah aku. Walau akau dan dia sama-sama di lautan, namun nasib kami berbeza. Lagi membuatkan aku bersyukur kepada Ilahi kerana menempatkan aku di kelompok pekerjaan yang kurang sengsaranya.
Malam ini juga bilik rehat pegawai dan juga kelasi masih lagi sunyi sepi. Pintu-pintu cabin semunya tertutup rapat walau malam masih muda. Fahamlah aku betapa malam pertama selepas kapal belayar adalah malam yang penuh dengan sentimental. Masing-masing melayan perasaan dan ada yang masih terbayang suara merdu sewaktu dalam perbualan di telefon. Di Bintulu juga mereka menerima surat kiriman daripada insane tersayang. Dengan catatan bisu itulah menyebabkan masing-masing berkurung di dalam bilik. Mereka menghayati kandungan warkah yang dituliskan oleh yang tersayang. Ada yang bertanya khabar dan ada juga yang bertanya bilakah orang yang dirindui bakal pulang ke kampung. Sambil segelintir lagi lain pula ceritanya. Pelabuhan Bintulu umpama tempat yang paling mengerikan buat mereka. Sambil memerhatikan sahaja sahabatnya bergembira dengan warkah masing-masing, dia pula kecewa dengan tiada insane yang cuba memilikinya. Kiriman surat tidak berbalas, deringan telefon tidak diendah, apatah lagi menyembunyikan kebenaran di sebalik keikhlasan yang palsu. Hampa mereka ini. Apapun diharapkan kepada yang kecewa tidak melaratkan cerita peribadi di tempat kerja. Pelayaran sesuatu yang penuh dengan cabaran. Mengawal emosi amat penting agar hala tuju sebagai pelaut sejati bakal terbukti. Lalu aku juga terikut-ikut dengan rentak merekasambil membaringkan diri di tilam empuk dan mengharapkan esok yang bakal menjelma menjanjikan kehidupan di atas kapal ini kembali seperti biasa.

Tulisan di atas adalah petikan novel Gelora yang ditulis dan diterbitkan sendiri oleh penulis blog ini. Masih ada naskah untuk anda membacanya hingga ke penghujung cerita.

1 comment:

Karim Mohd said...

masih menuliskah tuan? teruskan menulis, saya suka membaca bingkisan tuan di blog ini.