Saturday, October 25, 2008

Gelora

Gelora di tengah lautan
Amat dasyat dijana taufan
Gelora di dalam sanubari
Amat perit bila tidak diluahkan rasa hati

Ketika aku mengemudi mahligai terapung yang lengkap sifatnya
Sewaktu gelora besar melanda bersama percikan keputihan dipuncaknya
Tidak serik goyangnya
Dan terus dilambung terumbang ambing
Tidak ketentuan haluannya
Dan terus tercari cari arah alunan
Kadangkala terperangkap oleh kedatangan gelora berlainan arah
Kadangkala dikaburi oleh angin yang kencang dan hujan mencurah
Membuatkan aku terasa amat kecil sekali diri ini
Mengenang akan kebesaran Ilahi

Ketika aku merenung bulan dan bintang di cakerawala
Serwaktu laut kembali tenang dan langit diseri gemerlapan cahaya
Tidak serik pandanganku
Dan yang nampak bukannya alam semesta
Tidak berkelip mataku
Dan yang terbentang luas adalah insan tersayang jauh dimata
Kadangkala rindu ini berakar umbi dan tidak tertahan melawannya
Kadangkala rindu ini diulik ke alam mimpi dan terasa untuk terus lena
Membuatkan aku terasa amat siksa sekali diri ini
Memendam rasa dan impian isi hati


Faizal Yusof
IOS Andari 1
Mooring Bouy No. 1
Arthit Gas Field
07th August 2008 / 2100 hrs

Wednesday, October 22, 2008

MOORING BOUY

Di tengah tengah lautan nun jauh di Teluk Siam
Dengan kedalaman dasar yang tidak terhitung jarak
Dilabuhkan sauh bersama rantainya yang panjang
Disambungkan pula dengan pennant wire yang tahan karat
Diapungkan oleh boya yang besar dan warnanya terang
Tetap timbul dan terus gagah bertahan bila dipukul ombak
Kemuncak boya diikat mooring rope bersama tali anak
Disediakan sebegini rupa buat kapal supply yang tidak bergerak
Walau sebesar mana badai melanda ianya tetap tertambat
Sementara menanti arahan dari radio Operator di pelantar minyak

Bisakah aku hidup begini dalam dua alam yang berbeza
Mereka tenang di atas pelantar dengan tiangnya menusuk bumi
Kami terumbang ambing dengan haluan tak ketentuan dikemudi cuaca
Mereka kerja dan pulang dengan hitungan minggu bersilih ganti
Kami pula setia menanti menghitung beberapa kali bertukarnya bulan purnama
Ayuh bebaskan kami dari ditambat agar bisa hidup sebagai pelaut sejati
Pelaut yang bebas mengemudi seperti bebasnya burung berterbangan di udara

Faizal Yusof
1100 hrs
22nd June 2008
ARTHIT GAS FIELD

Tuesday, October 21, 2008

Dikir Anak Kapal
( Faizal Yusof – IOS Andari 1 – Teluk Siam – 1/06/2008 2100hrs )

Ambo nak cerita
Kisah kelasi kapal
Pergi belayar lama lama
Cari hasil buat bekal

Beratnya dalam hati
Tinggal anak tinggal isteri
Janji sehidup semati
Cukup masa balik lagi

Ohhhh inilah kisah kelasi kapal
Ohhhh moga orang tahu hidup pelayar

Bermula tinggal pelabuhan
Menempuh arus tempuh gelombang
Daratan makin hilang
Kaki langit jadi bulatan

Ditengah tengah lautan
Dugaan datang bermacam macam
Ditimpa hujan ribut dan taufan
Dok kira siapa ingat ko Tuhan

Bila tiba ditempat orang
Macam macam peangai macam macam ragam
Mana yang baik jadi tauladan
Mana yang buruk jadi sempadan

Ohhhh inilah kisah kelasi kapal
Ohhhh moga orang tahu hidup pelayar

Berbanding dengan dulu dulu
Anak kapal sekarang sudahlah maju
Cerita buruk waktu dulu
Zaman sekarang dah tak laku

Arak judi perempuan
Tiga perkara jadi sebutan
Kelasi kapal bahan sasaran
Tuduhan kekal hingga sekarang

Ohhhh inilah kisah kelasi kapal
Ohhhh moga orang tahu hidup pelayar

Persepsi susah nak ubah
Cari pasangan dihalang ayah
Kata dua sebelum nikah
Kalu dengan mat kapal baik dok payah

Sedarlah wahai semua
Dunia sekarang sudah global
Dok kira tempat dok kira masa
Hok kita nak buat boleh belaka

Baik buruk atas kita semua
Cermin diri cermin muka
Pakat jaga ajaran agama
Moga moga semua ke syurga